‘Junk food’ atau makanan ringan sememangnya menjadi kegemaran dan rakan baik kanak-kanak sejak dahulu lagi. Makanan ringan yang terdapat di pasaran adalah istilah generik untuk semua jenis makanan yang kaya dengan tenaga kerana mengandungi banyak lemak dan gula serta garam, namun relatifnya rendah dalam nutrien penting seperti protein, serat, vitamin dan mineral.
Tidak dinafikan ada ketika, ibu bapa tanpa sedar membenarkan pengambilan makanan ringan ini dalam kalangan anak-anak mereka, apalagi ia mudah untuk disediakan tanpa memerlukan sebarang peralatan memasak atau penyediaan yang adakalanya melecehkan selain harganya sangat murah.
Kanak-kanak pula mudah tertarik dengannya kerana bungkusan yang menarik dan punya mainan atau hadiah mesti di dalamnya serta rasanya yang manis malah lebih sedap jika dibandingkan dengan makanan berkhasiat.
Bagaimanapun tahukah anda membenarkan pengambilan makanan ringan ini, apalagi secara berlebihan, akan memberi impak yang sangat besar pada tumbesaran anak-anak? Ia mungkin tidak nampak pada mulanya, namun efek kepada kesihatan dalaman akan mula menunjukkan kesan untuk jangka masa panjang.
Oleh kerana kanak-kanak biasanya tidak faham bagaimana makanan ini memberi kesan buruk kepada kesihatan mereka, ia boleh menjadi ketagihan jika tidak dikawal dari peringkat awal.
Apa yang berlaku?
Pengambilan makanan ringan secara berterusan membawa kepada masalah kesihatan jangka panjang seperti obesiti, masalah emosi dan keyakinan diri serta penyakit kronik dalam jangka masa panjang.
Kekurangan vitamin seperti A dan C, mineral seperti magnesium dan kalsium, akan menggalakkan perkembangan penyakit disebabkan kekurangan nutrien penting dan osteoporosis, serta karies gigi akibat pengambilan gula dan lemak yang tinggi daripada keperluan harian. Malah, kebanyakan makanan ringan ini juga mengandungi agen pewarna makanan yang berbahaya dan lemak trans tidak sihat untuk tubuh badan manusia.
Pengambilan makanan ringan lebih daripada tiga kali seminggu dikaitkan dengan kemungkinan berlakunya gangguan atopik seperti asma, eczema atau rhinitis, manakala berlebihan kalori, lemak, gula dan karbohidrat dalam pengambilan yang berulang akan menyebabkan kanak-kanak terlibat mudah kenyang dan kurang berminat untuk menambah keperluan lain makanan berserat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran sehingga menyebabkan terjadinya sembelit.
Makanan ringan juga boleh menyebabkan prestasi akademik kanak-kanak terjejas menerusi tahap pengambilan gula yang tinggi sehingga menjadikannya sukar untuk mencapai tugasan melibatkan perhatian yang lebih lama. Penurunan tahap gula secara mendadak pula akan menyebabkan perubahan mood dan kanak-kanak kurang memberikan perhatian ketika belajar.
Langkah Pencegahan
Pengambilan makanan ringan pastinya perlu dikawal ketat khususnya pada kanak-kanak kerana ia tidak baik dan boleh mendatangkan banyak keburukan. Apakah penawarnya? Anehnya, pengambilan buah-buahan secara sedikit demi sedikit dapat meningkatkan mood dan mengurangkan risiko penyakit atopik ini.
Pemasaran makanan ringan yang tertumpu pada golongan kanak-kanak menerusi janji manis hadiah misteri dalam bungkusan perlu dikawal atau dihentikan sama sekali. Pengusaha makanan seharusnya menyediakan makanan yang lebih sihat dan mudah diperolehi dengan harga yang berpatutan dalam format yang lebih baik.
Ibu bapa pula perlu memainkan peranan utama dalam membantu anak-anak mereka untuk lebih mengenali keburukan serta kesan pengambilan makanan ringan.
Kanak-kanak memerlukan lebih pendedahan tentang bahaya yang mereka hadapi dan kita sebagai ibu bapa perlu menjalankan tanggungjawab memberikan pendidikan informasi selengkapnya kepada mereka.
Rujukan :
(1) Doi:10.1001/archpedi.161.8.792 Arch Pediatr Adolesc Med.2007;161(8):792-797.
(2) Doi:10.1542/peds.113.1.112 Pediatrics Feb 2004
(3) https://doi.org/10.1159/000337552 Ann Nutr METAB 2012;60:247-256
(4) https://doi.org/10.1111/j.1398-9995.2005.00945.x K.Wickens, D.Barry, A.Friezema, R.Rhodius, N.Bone, G.Purdie, J.Crane
(5) doi:10.3748/wjg.v22.i30.6864 World J Gastroenterol. 2016 Aug 14;22(30):6864-6875
(6)https://doi.org/10.1080/10640266.2011.584803 Robert A. Pretlow 295-307
(7)https://doi.org/10.1177/0009922814561742 Kelly M. Purtell, Elizabeth T.Gershoff, 5 Dec 2014
(8) https://doi.org/10.1016/j.ehb.2013.05.001 Pedro A.Alviola, James Smartt, Rodolfo M. Nayga, Michael R. Thomsen, Diana Danforth. May 2013
(9) https://doi.org/10.1016/s0002-8223(03)01086-1 Sahasporn Paeratakul, George A. Bray, Daphne P. Ferdinand, Catherine M. Champagne RD, Donna H. Ryan. Oct 8, 2004.