0

Oleh Huda Maisa.

Adakah anak anda memulakan hari mereka dengan bersarapan? Sarapan bermaksud makanan yang diambil selepas bangun tidur dari 6.00 hingga 8.00 pagi.

Ia adalah antara amalan pemakanan sihat dan seimbang yang dapat memberikan permulaan positif, terutamanya buat anak yang bersekolah, namun amalan sihat ini dilihat semakin kurang diutamakan pengambilannya dalam kalangan kanak-kanak bersekolah.

Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi oleh Institut Kesihatan Umum pada 2017, tujuh daripada 10 pelajar sekolah tidak mengambil sarapan. Manakala bagi pelajar obes pula, tinjauan menunjukkan sebanyak 74% daripadanya tidak bersarapan.

Satu kajian di Jepun oleh Okada C, et al. (2018) mendapati kanak-kanak yang meninggalkan sarapan lebih berisiko mengalami masalah berlebihan berat badan.

Di samping itu, terdapat beberapa kajian lain yang menunjukkan perkaitan diantara meninggalkan sarapan dan masalah obesiti abdominal atau biasanya dipanggil buncit (Griffiths et al., 2013, Garnett et al., 2011, Li et al., 2006).

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Nurul-Fadhilah et al. (2013) di Malaysia juga mendapati kanak-kanak yang bermasalah obesiti abdominal dan berlebihan lemak badan jarang mengambil sarapan.

Kita seharusnya sedia maklum bahawa, masalah obesiti boleh meningkatkan risiko mendapat penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi dan hypercholesterol.

Mereka yang bersarapan biasanya mempunyai pengambilan mikronutrien yang lebih tinggi, diet yang lebih seimbang serta kurang mengambil minuman ringan seperti air bikarbonat atau berperisa.

Pengambilan sarapan pagi kebiasaannya menyumbang 20-30% keperluan kalori sehari bagi kanak-kanak, yang dapat membantu membekalkan tenaga kepada mereka untuk kekal cergas, cerdas dan bersemangat sepanjang sesi persekolahan.

Ia juga dapat mengelakkan kanak-kanak daripada mengambil makanan yang berlebihan pada waktu seterusnya. Selain itu, pengambilan sarapan yang berkhasiat dapat mengurangkan kecenderungan pemilihan makanan rapu seperti keropok, gula-gula dan minuman berkarbonat yang biasanya mempunyai kalori yang tinggi.

Malah kebaikan bersarapan bukan sahaja baik dari segi mencegah obesiti, ia juga dapat meningkatkan kemahiran motor (pergerakan) dan kognitif (berfikir) kanak-kanak. Daya tumpuan dan pembelajaran mereka terutamanya ketika hari persekolahan akan menjadi lebih baik.

Jadi ibu bapa seharusnya memberi penekanan terhadap pengambilan sarapan dalam kalangan kanak-kanak, walaupun sekadar menyediakan sarapan yang ringkas agar mereka mendapat tenaga dan nutrisi yang diperlukan ketika sesi pembelajaran pada awal pagi.

Contoh Sarapan Yang Berkhasiat?

Antara contoh sarapan yang mudah disediakan serta berkhasiat adalah susu segar, minuman bermalta, roti bijirin penuh dengan sapuan mentega kacang, roti telur bakar (french toast), bijirin sarapan bersama susu atau buah seperti pisang dan epal. Ibu bapa juga boleh menyediakan bahan asas pada sebelah malam untuk mempercepatkan proses penyediaan sarapan.

Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak membuka mata ibu bapa tentang kepentingan sarapan buat anak-anak. Jom kita mula merancang sarapan anak-anak bermula hari ini!

Kevin Zahri

Kevin Zahri

Salam & Hello, My name is Kevin Zahri or affectionately known as Cikgu Fitness Malaysia. I am a passionate father of two amazing kids and am fighting for a healthier and fitter Malaysia.

Leave a Reply